Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan
Imam Al-Ghazali bahawa pada
suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di
hadapan seorang pemuda yang sedang
menyiram air di kebun. Bila pemuda
yang sedang menyiram air itu melihat
kepada Nabi Isa a.s berada di
hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai
Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari
Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku
seberat semut Jarrah cintaku
kepada-Nya."
Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai
saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk
seberat Jarrah itu."
Berkata pemuda itu lagi, "Wahai
Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu
Jarrah, maka kamu mintalah untukku
setengah berat Jarrah."
Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk
mendapatkan kecintaannya kepada
Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa,
"Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah
berat Jarrah cintanya kepada-Mu."
Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau
pun berlalu dari situ.
Selang beberapa lama Nabi Isa a.s
datang lagi ke tempat pemuda yang
memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s
tidak dapat berjumpa dengan pemuda
itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya
kepada orang yang lalu-lalang di tempat
tersebut, dan berkata kepada salah
seorang yang berada di situ bahawa
pemuda itu telah gila dan kini berada
di atas gunung.
Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan
orang-orang itu maka beliau pun
berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai
Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang
pemuda itu." Selesai sahaja Nabi
Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat
melihat pemuda itu yang berada di
antara gunung-ganang dan sedang duduk
di atas sebuah batu besar, matanya
memandang ke langit.
Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda
itu dengan memberi salam, tetapi
pemuda itu tidak menjawab salam Nabi
Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini
Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T
menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai
Isa, bagaimana dia dapat mendengar
perbicaraan manusia, sebab dalam
hatinya itu terdapat kadar setengah
berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi
Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau
engkau memotongnya dengan gergaji
sekalipun tentu dia tidak
mengetahuinya."
Barangsiapa yang mengakui tiga perkara
tetapi tidak menyucikan diri dari tiga
perkara yang lain maka dia adalah
orang yang tertipu.
1. Orang yang mengaku kemanisan
berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai
dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di
dalam beramal, tetapi dia
ingin mendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya,
tetapi tidak berani merendahkan dirinya.
Rasulullah S.A.W telah bersabda,
"Akan datang waktunya umatku akan
mencintai lima dan lupa kepada yang lima :
1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi
mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda.
Tetapi mereka lupa kepada hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi
mereka lupa kepada al-Khaliq.
4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi
mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung-gedung
mewah. Tetapi mereka lupa kepada
kubur."
