Oh hari bunga-bunga cinta sudah
tiba. Pasangan muda-mudi Islam juga tak terlepas mengatur program-program
'bulan madu' bersama kekasih hati. Hari kasih sayang itu dianggap sebagai hari
yang harus dilalui dengan mencurahkan sepenuh rasa cinta kepada pasangan. Bukan
sahaja pasangan suami isteri, malah yang baru menjalin hubungan cinta sehari
juga berimpikan perkara yang sama. 14 Februari tersemat di dalam hati, menjadi
kenangan yang abadi.
Tunggu! Sebelum terus-terusan kita
menjadikan hari tersebut sebagai hari membuktikan rasa cinta yang deminya
'lautan api sanggup ku redah', ketahuilah sejarahnya dahulu. Apa yang selama
ini disambut oleh umat Rasulullah SAW, di mana hujung pangkal permulaannya?
Jangan kita menjadi manusia yang tuli, mencontohi dan mengikuti sesuatu tanpa
kita mempunyai pengetahuan tentangnya. Allah telah menegaskan, "Dan
janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta
pertanggung jawabnya". (Surah Al-Isra : 36)
Sejarah Valentine's
Day
Terdapat pelbagai sumber yang
berbeza-beza menceritakan tentang asal-usul Hari Valentine. Yang nyata, tidak
satu pun memberi kebaikan kepada kita sebagai umat Islam dan hamba kepada Maha
Pencipta. Sedarkah kita, salah satu sebab kewujudan Hari Valentine ini adalah
kerana kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tarikh tersebut. Manakala
orang yang menjadi dalang kepada kekalahan itu adalah seorang paderi Kristian,
Saint Valentine. Lalu, 14 Februari 1492 dinamakan Hari Valentine dan
dianggap sebagai hari kasih sayang kerana Islam dianggap sebagai agama yang
zalim. Bukankah dengan menyambutnya, kita sendiri menghina agama kita yang
suci? Kejinya jika kita begitu!
Antara sejarah yang lain pula
menyebut, Hari Valentine diambil daripada nama paderi Saint Valentine atas
kesungguhannya mempertahankan hak para tentera di zaman pemerintahan Claudius
II untuk berkahwin. Ini kerana, semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom,
beliau menghalang tentera-tentera Rom untuk berkahwin kerana pada pendapat
beliau, mereka akan lebih kuat dan tabah untuk berperang jika masih bujang.
Namun secara senyap, Saint Valentine telah melakukan upacara pernikahan dan ini
mendatangkan kemarahan Claudius II. Lalu, paderi itu dihukum gantung pada 14
Februari 269 Masihi.
Fikirkan
Jika kita menjadikan ini sebagai
alasan untuk menyambut 14 Februari, dek kerana kesungguhan seseorang menegakkan
hak manusia untuk berkahwin, mengapa pula penghormatan itu harus diberi kepada
seorang paderi Kristian? Sedangkan di kalangan utusan Allah semuanya banyak
berkorban demi cinta mempertahankan agama. Kenangilah rasa cinta dan kasih yang
tak terhingga Rasulullah SAW yang banyak berkorban demi kita, umatnya yang amat
beliau kasihi. Sungguh, jangan pernah kita meletakkan penghormatan itu lebih
tinggi kepada pemimpin dari kaum kafir berbanding pemimpin teragung kita,
Muhammad SAW!
Kita sedia maklum, sesuatu perayaan
yang tidak berlandaskan agama Islam pasti mendatangkan sejuta keburukan dan
kebinasaan. Lihatlah, berapa ramai anak-anak gadis seagama yang telah terkulai
layu di tangan kekasih hati hanya demi membuktikan rasa cinta yang
berinspirasikan Saint Valentine? Berapa ramai pemuda-pemuda yang menggalas
tugas khalifah di muka bumi melakukan maksiat dan zina demi tarikh yang
dianggap keramat itu? Segeralah kita membendung sambutan Hari Valentine. Jangan
biarkan benih kesesatan menumbuh lalu menjadi pohon yang menutupi sinar iman di
dalam hati.
Ingatlah firman Allah, "Dan
demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah
datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka
tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan
memberi pertolongan kepadamu." (al-Baqarah:120).
