Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk. Dahulu aku melihat orang lain
sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Sakit, kehilangan harta benda,
kehilangan orang tersayang. Itu tandanya Allah masih ingat akan kita. Dia mahu
menguji hambanya supaya jika kita bersabar, insyaAllah kita kan mendapat
ganjaran.
Dan aku tertanya, kenapa aku tidak pernah
diuji dengan segala cabaran yang aku lihat terpaksa dipikul oleh orang lain?
Lupakah Allah kepada aku? atau Allah sudah tidak sayang kepada aku?
Kemudian aku tersedar, yang ujian Allah itu juga
boleh datang dalam bentuk kesenangan. Dan kadang-kadang kesenangan itu lebih
berat ujiannya daripada kesusahan. Oh, aku sedang diuji waktu itu tanpa aku
sedari. Persoalannya, luluskah
aku dengan ujian itu? Hanya Allah yang tahu. Dan sekarang,
mungkin Allah mahu aku merasa ujian yang aku pernah 'minta'
dahulu. Ujian dalam bentuk kesusahan. Susahnya kehidupan seorang pelajar. Tidak
pernah diduga oleh aku yang Allah akan menguji aku dalam bentuk ini. Kerana
dahulu, soal pelajaran tidak pernah menjadi satu masalah.
Tetapi aku tahu. Allah tidak akan pernah
menguji hambaNya dengan ujian yang tidak terdaya oleh kita. Persoalannya,
mampukah aku lulus dengan ujian ini? Setiap perkara yang berlaku, baik buruk,
ada hikmahnya. Andai aku gagal dalam ujian ini,
mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk aku, lebih baik daripada perancangan manusia untuk aku.
mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk aku, lebih baik daripada perancangan manusia untuk aku.
Namun, aku hidup dengan
manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak,
aku terpasa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga aku mungkin lupa yang
kehendak Allah jauh melangkau segalanya.