Abu
Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia
pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul
ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka
salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam
bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari
rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:
1.
Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2.
Engkau sembunyikan,
3.
Engkau terimalah,
4.
Jangan engkau putuskan harapan,
5.
Larilah engkau daripadanya.
Pada
keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku
hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan."
Maka
Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya.
Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga
menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke
mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan
syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian
Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas.
Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun
menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi
itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan
perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari
tempat ia ditanam.
Ketika
dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang
mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,
"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu,
hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke
dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam
mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi
kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan
untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung
kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas
kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu
dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari
situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam
itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun
melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka
jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini." Dalam mimpi beliau telah
diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya
nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat
mengawal serta menahannya, maka marah itu punakan menjadi lebih manis daripada
madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun
disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka
janganlah kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka
usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah
(menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk
berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku,
kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab
kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita
sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata
hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.
Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan
pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang
hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu
dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini
tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah
S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."
Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang
benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana
itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.