Salah satu Rukun Iman adalah percaya kepada Malaikat. Namun
begitu, pernahkah kita terfikir bagaimana caranya kita mendatangkan kepercayaan
kepada Malaikat? Keimanan tidak datang secara bergolek. Keimanan kepada Allah
boleh datang dengan meneliti, menghayati dan memikirkan tentang ciptaan-Nya di
alam ini. Keimanan kepada Nabi boleh datang dengan mukjizat-mukjizat yang
dikurniakan Allah kepada mereka. Tapi bagaimana pula keimanan kepada Malaikat?
Apakah tanda-tanda kewujudan Malaikat?
Sebelum menjelaskan tentang kewujudan Malaikat, seseorang itu
perlu tahu sifat-sifat Malaikat itu sendiri. Al-Qur'an dan Hadis banyak
menjelaskan kepada kita tentang sifat-sifat Malaikat.
1.
Malaikat dicipta daripada cahaya
Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Aisyah RA :
"Malaikat
dicipta daripada cahaya, jin dicipta daripada api dan manusia dicipta daripada
apa yang diceritakan kepadamu (tanah)" [Riwayat Muslim]
2.
Malaikat tidak berkehendak, tiada nafsu.
Dan
mereka berkata: "Mengapa rasul itu memakan
makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang
malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama- sama dengan
dia?" [Al-Furqaan : 7]
3.
Malaikat taat melaksanakan perintah Allah tanpa sedikitpun membantah.
"Sesungguhnya
malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tidaklah merasa enggan menyembah
Allah dan mereka mentasbihkan-Nya dan hanya kepada-Nya-lah mereka
bersujud." [Al-A'raaf : 206]
4.
Malaikat dikurniakan Allah kekuatan.
"Dan
malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan
orang malaikat menjunjung 'Arsy Tuhanmu di atas (kepala) mereka." [Al-Haaqqah : 17]
5.
Malaikat boleh berubah menjadi apa jua bentuk dengan izin Allah.
Dan
tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Luth, dia merasa
susah dan merasa sempit dadanya karena kedatangan mereka, dan dia berkata: "Ini adalah hari yang amat
sulit" [Huud : 77]
Malaikat
Satu Bentuk Daya
Malaikat merupakan jamak kepada perkataan Arab iaitu 'malak' yang
bermaksud daya (force). Dalam hadis Rasulullah, ada dinyatakan bahawa Malaikat
dicipta daripada cahaya. Cahaya merupakan sinaran elektromagnet yang membawa
tenaga dan momentum dan kesannya dapat dilihat apabila berinteraksi dengan
jirim. Hal ini selari dengan makna Malaikat itu sendiri yang membawa maksud
forces atau daya.
Penciptaan Malaikat tidak seperti Manusia. Manusia dicipta hasil
dari tindak balas biokimia. Justeru, Manusia perlu patuh kepada hukum
(sunnatullah) biokimia iaitu emosi, makan dan berkahwin (mempunyai jantina).
Sebaliknya sinaran elektromagnet dicipta dari tindak balas fizik. Maka itu
sinaran elektromagnet tidak tertakluk kepada hukum biokimia dan hal ini selari
dengan sifat Malaikat itu sendiri iaitu tiada emosi, tidak bernafsu (tuntutan
biologi) dan tiada jantina.
Menurut kajian, cahaya dapat bergerak di dalam vakum dengan
kelajuan 299,792,458 meter sesaat. Hal ini selari dengan firman Allah dalam
Al-Qur'an:
"..dan
(malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya." [Al-Mursalaat : 2]
Patuh
Hukum Alam
Malaikat adalah makhluk Allah yang sangat disiplin, patuh dan
tidak pernah membantah perintah-Nya. Malaikat boleh diinterpretasikan sebagai
utusan atau alatan Allah dalam mentadbir alam ini. Menjadi sifat sesuatu alat
untuk patuh kepada pemiliknya. Seperti komputer yang diprogramkan untuk patuh
menerima arahan oleh pembuatnya, Malaikat juga diprogramkan untuk patuh dan
taat kepada perintah Allah. Kita melihat sinaran elektromagnet juga sentiasa
'patuh' kepada hukum fizik yang telah ditetapkan Allah. Sekiranya sinaran
elektromagnet ini tidak 'patuh', Albert Einstein tidak akan memasukkan nilai c
(halaju cahaya) dalam formulanya; E=mc2 sebagai pemalar (constant).
Di segenap penjuru alam ini, terdapat banyak bukti kepatuhan
Malaikat terhadap perintah Allah. Sebagai contoh, antara tugas Malaikat ialah
menurunkan hujan. Tugas Malaikat ini boleh dijelaskan secara saintifik. Menurut
hukum fizik, pemindahan haba berlaku melalui tiga cara iaitu konduksi,
perolakan dan sinaran. Melalui sinaran cahaya, matahari dapat memindahkan haba
(tenaga) ke atas air di lautan Bumi. Setelah memperoleh tenaga, air di lautan
mengewap ke udara lalu terkondensasi membentuk hujan.
Tanpa sinaran cahaya, tidak mungkin proses kitaran hujan berlaku
kerana Hukum Keabadian Tenaga menyatakan bahawa tenaga tidak boleh dicipta dan
dimusnahkan, ia hanya boleh berubah bentuk. Maka secara saintifik, air tidak
boleh secara tiba-tiba mengewap ke udara tanpa ada tenaga yang dipindahkan.
Maka Allah menetapkan supaya tenaga dari Matahari untuk menjadi sumber tenaga
untuk air di Bumi dapat mengewap dan Allah memberi tugas kepada Malaikat
(sinaran cahaya) untuk menjadi perantaraan pemindahan tenaga ini. Maka
terjadilah kitaran hujan. Subhanallah!
Penjelmaan
Hologram
Al-Qur'an pernah menceritakan kepada kita bahawa Malaikat pernah
diutuskan kepada para Nabi menjelma dalam bentuk manusia. Hal ini tidak
mustahil dan dapat difahami dengan mudah. Teknologi kini membolehkan kita
mencipta imej 3D dengan hologram. Imej 3D hologram dapat dibuat dengan
menggunakan pancaran laser dan pancaran cahaya yang mana kedua-duanya adalah
sinaran elektromagnet. Hologram bukan sekadar mencipta imej 3D, akan tetapi
hologram juga digunakan sebagai ciri-ciri keselamatan dalam kad kredit, kad
pengenalan, lesen kereta atau VCD/DVD original untuk membezakan antara palsu
dan tulen. Sifat hologram yang membezakan kepalsuan dan ketulenan selari dengan
sifat Malaikat dalam firman Allah:
"..dan
(malaikat-malaikat) yang membedakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan
sejelas-jelasnya." [Al-Mursalaat : 4]
Bagaimana pula dengan komunikasi? Sinaran elektromagnet boleh
diklasifikasikan kepada beberapa jenis bergantung kepada frekuensi gelombang.
Jenis-jenisnya termasuklah gelombang radio, gelombang mikro, sinaran terahertz,
sinaran infrared, cahaya, sinaran UV, X-rays dan sinar gamma. Komunikasi dapat
dilakukan menerusi gelombang radio atau gelombang mikro kerana keduanya adalah
satu bentuk sinaran elektromagnet. Kini, terdapat pelbagai alat komunikasi yang
menggunakan gelombang radio atau mikro seperti television, radio, telefon
bimbit, dan wireless LAN. Maka tidaklah mustahil Malaikat dapat berbicara
dengan Nabi dalam keadaan ia merupakan sinaran elektromagnet.
Penutup
Saya berpendapat bahawa tiada salahnya untuk menterjemahkan rupa
bentuk Malaikat melalui pendekatan sains. Malaikat adalah salah satu makhluk
Allah dan sudah pastinya ia sebahagian dari sunnatullah. Selagi kita tidak
melampaui keterbasan akal dengan mengkaji Zat Allah, bagi saya tidak salah
sekiranya mengkaji ciptaan Allah termasuk Malaikat sendiri. Bukankah Allah
sendiri menggalakkan kita melihat tanda-tanda kekuasaan-Nya dengan mengkaji
alam-Nya?
Daripada saya mengkaji sama ada Allah itu berada di atas arasy
atau tidak bertempat, atau mempunyai tangan atau tidak mempunyai tangan, yang
akhirnya tidak mendatangkan jawapan sebaliknya kekeliruan demi kekeliruan yang
menatijahkan perdebatan sia-sia, lebih baik saya mengkaji ciptaan-Nya untuk
memerhatikan tanda-tanda kekuasaan-Nya. Bagi saya, perkara itu lebih menambah
iman.
Wallahua'lam.
Rujukan
1. IRFI - The Muslim Belief in Angels
2. Muslim.or.id - Iman Kepada Malaikat
3. Al-Ikhwan.net - Iman Kepada Malaikat
4. Wikipedia - Light
5. Wikipedia - Electromagnetic radiation
6. Howstuffworks - How holograms work
2. Muslim.or.id - Iman Kepada Malaikat
3. Al-Ikhwan.net - Iman Kepada Malaikat
4. Wikipedia - Light
5. Wikipedia - Electromagnetic radiation
6. Howstuffworks - How holograms work