Isnin, 23 Disember 2013

SELINDUNG AIB ORANG


Seorang sahabat telah menjemput Nabi S.A.W. dan sahabat-sahabat yang lain untuk menikmati hidangan daging unta di rumahnya. Ketika mereka sedang menikmati hidangan, seorang daripada mereka telah membuang angin. Para sahabat cuma berpandangan sesama mereka. Wajah Nabi S.A.W. juga menunjukkan rasa kurang selesa dengan kejadian itu.
 
            Apabila masuk waktu solat maghrib, Nabi S.A.W. bersabda: “Sesiapa yang telah memekan daging unta, sila berwuduk.” Hal ini jelas menunjukkan bahawa Nabi S.A.W. telah melindungi seseorang daripada menanggung malu atas perbuatannya.

            Allah S.W.T. megecam orang yang selalu menyiarkan berita buruk agar diketahui oleh orang mukmin lain, bahkan bagi mereka azab pedih di dunia dan akhirat. Ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab pedih di dunia dan akhirat . Dan Allah Maha Mengetahui , sedangkan kamu tidak mengetahui.”(Surah al-Nur 24:19)

            Aib yang sifatnya merupakan kejadian Allah seperti kecacatan pancaindera, tidak boleh dibicarakan dan disebarkan kerana pandangan majority ulama berpendapat bahawa perbuatan itu merupakan satu dosa. Apabila kita menyebarkannya bererti menghina Penciptanya. (Al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din)

            Jika kita mendapati saudara kita melakukan perbuatan maksiat seperti minum arak, berzina dan lain-lain, jangan sebarkannya. Namun, kita masih lagi bertanggungjawab menegah yang mungkar dan menunjukkan jalan makruf.

            Imam al-syafi’I berkata: “Sesiapa yang menasihati saudaranya dengan tetap menjaga rahsianya bererti dia benar-benar menasihatinya dan memperbaikinya. Sedangkan yang menasihati tanpa menjaga rahsianya,bererti telah membuka aib dan mengkhianati saudaranya.” (Sharh Sahih Muslim)

            Dosa yang dilakukan seseorang secara sembunyi-sembunyi tetapi mengakibatkan kerugian pihak tertentu seperti perbuatan mencuri, rasuah dan sebagainya, boleh diselidik, dibongkar serta dilaporkan kepada pihak berwajib kerana maksiat seperti ini akan mencipta mudarat yang lebih besar jika dibiarkan.